Seorang pelawak Somalia yang popular, dan berani membuat lawak mempermainkan kumpulan mujahidin Islam kononnya sering mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan membunuh orang awam, telah ditembak mati pada hari Selasa 31/7/2012.
Menururt seorang saksi kejadian, Malaq Abdi-Jaylani atau lebih dikenali sebagai Marshaale telah ditembak di kepalanya beberapa kali oleh dua lelaki bertopeng yang bersenjatakan pistol pada jam 5:30 petang ketika beliau di dalam perjalanan pulang ke rumahnya berhampiran masjid Ali-booley di daerah Mogadishu, Waberi.
Mangsa yang mengalami kecederaan serius dalam serangan itu telah dikejarkan ke hospital Madine, sebelum doktor kemudian mengesahkan kepada media kematian pelawak itu.
Tidak jelas siapa yang bertanggungjawab di sebalik pembunuhan itu, tetapi Malaq, 43, sebelum ini pernah menerima ancaman daripada kumpulan jaringan pejuang Al-Qaeda, brigade Al-Shabab.
Malaq Abdi-Jaylani atau lebih dikenali sebagai Marshaale
Malaq yang bekerja untuk TV Universal, sering melakonkan watak sebagai pejuang Islam dalam rancangan komedinya, menurut laporan BBC.
Abdi Muridi Dhere, rakan sekerjanya berkata kematian Malaq amat menyedihkan. Pembunuhan itu telah menyebabkan Mogadishu kembali kepada "hari kegelapan."
"Ini adalah hari yang hitam untuk seluruh industri hiburan," kata Yusuf Keynan, penyampai radio yang bekerja bersama Malaq.
"Dia adalah seorang ketua komedi di Somalia dan semua orang sukakannya."
Puluhan wartawan Somalia hadir pada upacara pengkebumiannya semalam, Khamis 2/8/2012.